Peperiksaan akhir tahun akan
menjelang. Setahun telah berlalu dan para pelajar akan diuji tentang apa yang
telah diajar. Ramai pelajar akan mengulang kaji pelajaran hingga ke lewat malam
dan saya tidak dikecualikan. Peperiksaan akhir tahun akan menentukan
subjek-subjek yang layak diambil oleh seorang pelajar. Namun, untuk mengambil
sesuatu subjek, markah peperiksaan harus memenuhi kriteria yang ditetapkan
untuk melayakkan seseorang pelajar untuk mengambil kombinasi subjek yang
diingini.
Subjek-subjek yang
akan dipilih selepas keputusan peperiksaan akhir tahun amat penting kerana
subjek-subjek tersebut ialah subjek-subjek yang akan diambil pada Peperiksaan
Peringkat GCE ‘O’. Keputusan peperiksaan nasional ini akan menentukan institusi
pengajian seorang pelajar selepas tamat pengajiannya di sekolah menengah. Oleh itu,
peperiksaan akhir tahun ini amat penting bagi pelajar yang sebaya dengan saya.
Persiapan awal patut dilakukan supaya
pelejar mempunyai masa yang mencukupi untuk memahami mata pelajaran mereka
dengan terperinci. Saya mengaku bahawa saya sendiri tidak berasa begitu
bersedia untuk peperiksaan akhir tahun kerana mula mengulang kaji agak lewat, iatu
dua minggu sebelum peperiksaan bermula. Saya sedar bahawa tabiat membuang masa
amat merugikan seseorang. Justeru, saya harap saya dapat lulus dengan cemerlang
walaupun saya tidak begitu yakin dengan kebolehan saya. Saya bertekad untuk melakukan
yang terbaik supaya saya tidak akan mengecewakan guru-guru dan ahli
keluarga saya.